Wednesday, 26 February 2014

Disko Kampung

Dalam gelap malam di hujung hutan itu, terdapat sebuah teratak lama berdiri. Sebenarnya rekabentuk dia bukanlah macam teratak sangat. Ada ruang terbuka seluas 10 meter x 10 meter, di tengahnya terpacak satu tiang besi bulat panjang menyucuk ke bumbung. Diluarnya disangkut papan tanda bertulis 'Disko Kampung'.

Alunan tekno russia bergema dum dam dum dam. Janda muda kampung seberang bergelek tak ingat dunia.

Li Burung tiba lewat malam itu. Kawannya Rohim Capek sudah menunggu lama di kaunter bar. Hampir dua gelas kecik wiski habis di teguknya.

" Kenapa kau lambat?", tanya Rohim.

" Aku dapat tau yang ada orang kampung kita kena tangkap. Sebab cuba seludup rokok Surya masuk. Esok pagi akan jatuh hukuman gantung, mahkamah kampung dah putuskan. Aku pi perbicaraan la tadi. "

Berkerut muka Rohim memikirkan jawapan Li Burung. Sejak tahun 2016 apabila negeri mereka bergabung dengan Amerika Syarikat, sejak itulah dia sudah tak nampak rupabentuk rokok Surya lagi. Itu cerita 25 tahun dahulu. Menghisap rokok Surya bererti menganut fahaman Sosialis, dan amat amat ditegah kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat.

"Li, aku pun dah lupa macam mana bau rokok Surya. " ujar Rohim selepas termangu seketika

Alunan tekno russia bergema dum dam dum dam. Janda muda kampung seberang terus bergelek tak ingat dunia.

Monday, 24 February 2014

Surat Layang Untuk Kaklong

Kaklong,

Kaklong, kadang kadang kita kena tegas dalam hidup kita. Kalau kita terlalu mengikut orang , kita akan mudah pudar. Tak siapa akan ingat kita lagi. Biarlah orang ingat kita disebabkan ketegasan kita. Biarlah kita punyai prinsip yang kukuh untuk hidup. Sebab kalau kita mengikut rentak saja, mati kita tak bernama. Kerana waktu hidup kita sudah jual jiwa kita.

Kaklong, berhentilah mengharap yang indah indah saja. Romantism tak bawa kita ke mana. Drama yang televisyen siarkan itu apakah kaklong paham tak logik. Tutup televisyen, pandang ke hadapan. Cuba kak long fikirlan, apa yang kak long sudah lalui sepanjang hidup. Adakah semuanya baik baik belaka? Adakah hidup kak long indah semacam seorang puteri? Saya berani potong jari kaklong, paling tidak kak long mesti pernah merasa kepayahan. Jadi lebih baik kak long cuba untuk hidup dalam realiti, bukan dunia mimpi.

Kaklong, berentilah merintih soal cinta. Kalau cinta itu wujud, ia bukan untuk dihebahkan, tapi untuk dirasai. Saya pusing kepala melihat telatah kak long. Seolah olah tak boleh hidup tanpa cinta seorang lelaki. Seolah olah hidup kak long telah dijahanamkan bila cinta kaklong putus ditengah jalan. Itu bahalul namanya. Lebih teruk dari efek berhenti hisap dadah. Saya nasihatkan cuba kaklong berenti melolong tak tentu hala dan muhasabah diri. Apa tujuan kita hidup di dunia ni. Kalau kaklong jawab cinta, salah pemikiran kak long. 

Harap kaklong faham apa yang saya tulis ini. Jikalau puisi puisi cinta berat kaklong boleh baca, jadi mohon kak long dapat fikirkan apa yang saya tulis. 

 

Wednesday, 19 February 2014

Kita ini milik alam

jika kau mahu ke laut
silakan saja
jika kau mahu pandang ke langit
boleh saja
jika kau mahu rasa hembus angin
rasailah sepuas hatimu
jika kau mahu jalan di denai rimba
langkahlah semahu kakimu
semuanya boleh untukmu sayang
kerana kau harus mengerti
alam ini milik kita
dan kita ini milik alam.