Tuesday, 22 April 2014

Buat Teman Teman

kalau ditanya aku
waktu mana yang paling indah
ku jawab waktu bersama teman teman
di hari hari lepas yang sudah pergi

ya waktu itulah paling indah bagiku
waktu kita berbicara
bercanda gelak berbual mesra
semua kita lakukan bersama
dimana saja ada kita
sedih muram kita harung bersama
 
aku tak punya banyak wang waktu itu
tapi hidupku tak resah
aku tetap senang dengan teman
letih dan susahku hilang
bila bersama mereka

pada teman teman
ku harap janganlah lupa aku
jangan lupakan kita
jangan lupakan waktu indah dulu
kerana bila kau kesusahan
aku akan datang
dan ini sebuah pesan, kawan

Wednesday, 26 February 2014

Disko Kampung

Dalam gelap malam di hujung hutan itu, terdapat sebuah teratak lama berdiri. Sebenarnya rekabentuk dia bukanlah macam teratak sangat. Ada ruang terbuka seluas 10 meter x 10 meter, di tengahnya terpacak satu tiang besi bulat panjang menyucuk ke bumbung. Diluarnya disangkut papan tanda bertulis 'Disko Kampung'.

Alunan tekno russia bergema dum dam dum dam. Janda muda kampung seberang bergelek tak ingat dunia.

Li Burung tiba lewat malam itu. Kawannya Rohim Capek sudah menunggu lama di kaunter bar. Hampir dua gelas kecik wiski habis di teguknya.

" Kenapa kau lambat?", tanya Rohim.

" Aku dapat tau yang ada orang kampung kita kena tangkap. Sebab cuba seludup rokok Surya masuk. Esok pagi akan jatuh hukuman gantung, mahkamah kampung dah putuskan. Aku pi perbicaraan la tadi. "

Berkerut muka Rohim memikirkan jawapan Li Burung. Sejak tahun 2016 apabila negeri mereka bergabung dengan Amerika Syarikat, sejak itulah dia sudah tak nampak rupabentuk rokok Surya lagi. Itu cerita 25 tahun dahulu. Menghisap rokok Surya bererti menganut fahaman Sosialis, dan amat amat ditegah kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat.

"Li, aku pun dah lupa macam mana bau rokok Surya. " ujar Rohim selepas termangu seketika

Alunan tekno russia bergema dum dam dum dam. Janda muda kampung seberang terus bergelek tak ingat dunia.

Monday, 24 February 2014

Surat Layang Untuk Kaklong

Kaklong,

Kaklong, kadang kadang kita kena tegas dalam hidup kita. Kalau kita terlalu mengikut orang , kita akan mudah pudar. Tak siapa akan ingat kita lagi. Biarlah orang ingat kita disebabkan ketegasan kita. Biarlah kita punyai prinsip yang kukuh untuk hidup. Sebab kalau kita mengikut rentak saja, mati kita tak bernama. Kerana waktu hidup kita sudah jual jiwa kita.

Kaklong, berhentilah mengharap yang indah indah saja. Romantism tak bawa kita ke mana. Drama yang televisyen siarkan itu apakah kaklong paham tak logik. Tutup televisyen, pandang ke hadapan. Cuba kak long fikirlan, apa yang kak long sudah lalui sepanjang hidup. Adakah semuanya baik baik belaka? Adakah hidup kak long indah semacam seorang puteri? Saya berani potong jari kaklong, paling tidak kak long mesti pernah merasa kepayahan. Jadi lebih baik kak long cuba untuk hidup dalam realiti, bukan dunia mimpi.

Kaklong, berentilah merintih soal cinta. Kalau cinta itu wujud, ia bukan untuk dihebahkan, tapi untuk dirasai. Saya pusing kepala melihat telatah kak long. Seolah olah tak boleh hidup tanpa cinta seorang lelaki. Seolah olah hidup kak long telah dijahanamkan bila cinta kaklong putus ditengah jalan. Itu bahalul namanya. Lebih teruk dari efek berhenti hisap dadah. Saya nasihatkan cuba kaklong berenti melolong tak tentu hala dan muhasabah diri. Apa tujuan kita hidup di dunia ni. Kalau kaklong jawab cinta, salah pemikiran kak long. 

Harap kaklong faham apa yang saya tulis ini. Jikalau puisi puisi cinta berat kaklong boleh baca, jadi mohon kak long dapat fikirkan apa yang saya tulis. 

 

Wednesday, 19 February 2014

Kita ini milik alam

jika kau mahu ke laut
silakan saja
jika kau mahu pandang ke langit
boleh saja
jika kau mahu rasa hembus angin
rasailah sepuas hatimu
jika kau mahu jalan di denai rimba
langkahlah semahu kakimu
semuanya boleh untukmu sayang
kerana kau harus mengerti
alam ini milik kita
dan kita ini milik alam.

Thursday, 23 January 2014

Bank Dan Kita

Petang tadi, aku cuba pi cucuk duit. Sebab tengah hari sini panas sangat, jadi elok pergi bank ni waktu petang. sedap sikit nak naik motor. Dah dua bulan tak turun hujan. Agaknya hujan pun dah meluat nak turun kat Langkawi ni.

Sampai bank, jangkaan aku tersilap. Dekat bank punya tempat cucuk duit, punya panjang queue. Brader brader opis dengan akak akak obes punya la ramai. Disamping itu, terselit jugak dua tiga orang brader serban. Aku paham. Ini bank Islam.

Rupanya mesin cucuk duit jahanam. Tinggal satu ja mesin jalan. Sebenarnya sejak aku duduk dekat Langkawi ni tak pernah lagi aku tengok tiga-tiga mesin cucuk duit bank Islam ni jalan elok. Tapi aku tak marah, aku paham. Ini bank Islam.

Setelah turn sorang brader serban tu setel, tiba giliran aku. Aku berkira kira nak keluar sepuluh ringgit. sebab banyak tu ja yang ada dalam akaun. Dulu aku keluar sepuluh ringgit dekat mesin cucuk duit bank Islam dekat Kulim. Bagus untuk orang miskin macam aku.

Aku usha baki dulu. Orait, sebab ada 10.70. Cukup la kalau bawak keluar sepuluh. Dengan yakin aku tekan tekan mesin. Dalam masa tu aku berdoa sikit sikit dalam bahasa kita supaya aku dapat beli megi buat makan ni malam.

Pap, naik satu tulis panjang panjang. Aku jadi malas baca. Tak baca pun aku dah tahu. cepat cepat aku eject kad bank aku blah dari tempat lahanat tu. Budak mintak sedekah kat luar bank aku langgar buat tak tahu.

Kenapa la bank suka menindas orang miskin macam kita.

Cermin

bila aku tengok cermin
tengok muka aku
tengok mata aku
kuning
tengok gigi aku
kuning
tengok pipi aku
berparut
aku berfikir
dulu aku tak macam ni.

adakah cermin ni ikhlas terhadap aku?